
Kata orang tua-tua, orang tamak selalu rugi. Walaupun kita sering mendengar pepatah ini namun seringkali kita menjadi tamak tanpa menyedarinya. Tamak tidak hanya kepada harta benda tetapi tamak juga boleh berlaku kepada ilmu bahkan secara mudahnya tamak boleh berlaku dalam apa jua perkara. Tamak adalah satu penyakit yang halus dan bahaya. Orang yang tamak kadangkala menyedari sikap tamaknya dan ada pula yang merasakan mereka tidak tamak tetapi mereka ingin berjaya. Berjaya dalam ertikata sebenar jauh berbeza dengan berjaya yang difahami oleh orang tamak. Tamak ertinya adalah keinginan untuk memperolehi semuanya. Mereka yang tamak ini selalu berfikir bagaimana untuk mendapat semua angan-angannya. Mereka akan melakukan perkara yang singkat pemikirannya yang akhirnya memberi hasil yang merugikan. Hal ketamakan ini juga pernah disentuh oleh baginda rasulullah saw : Daripada Anas Bin Malik berkata : Rasulullah SAW bersabda : “ Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan.” ( Riwayat Bukhari )
Orang yang tamak akan sentiasa berfikir justeru itu mereka akan mudah membuat kerosakan kepada minda mereka sendiri. Bahkan bukan itu sahaja apabila ketamakan menjadi suatu agenda, tidur mereka sudah pasti tidak dalam kelompok tidur nyenyak kerana mereka sentiasa berada dalam gelombang fikiran yang memikirkan hal-hal duniawi. Orang yang tamak akan sukar untuk menerima apa yang dititipkan oleh Allah swt kepada mereka. Mereka ingin apa yang mereka inginkan dan mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai hajat mereka. Ada diantara mereka yang menjadikan matlamat menghalalkan cara sebagai kaedah mencapai objektif. Apabila kita tamak, kita akan kurang rasa bersyukur atas eepemberian Allah swt bahkan mungkin juga tidak bersyukur langsung atas kurniaan Ilahi. Kita sentiasa merasakan kita dipihak yang benar mencapai keinginan kita hingga menolak kepentingan masyarakat sekeliling.
Bahayanya sikap tamak juga adalah kerana ianya dengan jelas akan membawa seseorang itu ke arah banyaknya angan-angan. Mungkin ada yang berpendapat bahawa angan-angan itu tidak merosakkan. Yang tidak merosakkan itu sebenarnya bukan angan-angan tetapi cita-cita. Angan-angan dan cita-cita itu berbeza kerana dalam angan-angan kita akan khayal dengan nafsu duniawi kita tanpa ada usaha yang konkrit dalam mencapainya. Angan-angan itu subjektif kerana dalam angan-angan akan berlaku ketamakan. Misalan yang paling mudah adalah apabila kita berangan-angan untuk mempunyai kereta besar. Kita mungkin pada awalnya hanya bercita-cita untuk mempunyai kereta besar yang hebat akan tetapi ianya akan berubah menjadi angan-angan apabila kita mula menceritakan yang kereta besar yang bakal diperolehi itu akan ditambah nilai dengan rim yang canggih, sistem audio yang mantap. Kita kemudian berterusan berangan-angan untuk membawa kereta tersebut bertemu rakan-rakan, dan mereka kemudiannya memuji kereta yang kita miliki. Selepas itu, kita menyambung angan-angan kita dengan membuat fantasi tentang kereta tersebut. Akhirnya kita letih, minda kita kelelahan dan kita menjadi orang yang tidak produktif. Berbeza dengan cita-cita. Cita-cita pula adalah meletakkan matlamat ke arah mana yang kita ingin tujui dan bagaimana untuk sampai ke destinasi. Apabila cita-cita dipasang, mereka akan mula merangka strategi dan bukan hanya berangan-angan. Cita-cita akan membahawa kepada usaha tetapi angan-angan akan membawa kepada ketamakan. Angan-angan akan membuatkan seseorang itu lalai dan akibat kelalaian itu mereka mula menjadi manusia yang tidak produktif. Lebih teruk lagi jika mereka tidak langsung menyedari yang mereka itu tidak produktif.
Seorang sufi pernah berkata: aku menemui seseorang yang ku kenali untuk membeli sesuatu. Aku kemudian membelinya dengan harga satu dirham namun di dalam hatiku berkata : “mudah-mudahan dia tidak mengambil satu dirham ini daripada ku.” Setelah itu kedengaran suara yang berkata kepadaku : “selamat dalam agama itu adalah dengan meninggalkan tamak pada sekelian makhluk.
Sememangnya sifat tamak itu biar dalam apa segi sekalipun akan membawa kepada kebinasaan. Tidak mungkin satu kerugian yang kita lakukan kepada orang lain tidak membawa kerugian kepada diri sendiri. Kerugian yang ada pada diri kita adalah balasan yang bakal kita tempuhi samada di dunia atau di akhir nanti apatah lagi seandainya mereka yang dirugikan itu duduk dalam penganiayaan. Bukankah doa orang yang teraniaya itu tiada hijabnya. Sifat tamak dan panjang angan-angan ini dapat diatasi seandainya kita akrab dengan Allah swt. Apabila berlaku keakraban maka kita akan percaya sepenuhnya serta mempunyai keyakinan yang tidak berbelah bahagi dalam memahami hakikat kerezekian ini semuanya dikurniakan Allah swt. Kita perlu berusaha namun hakikatnya Allah swt jualah yang memberi rezeki. Kita akan menjadi mereka yang tahu bertrima kasih kepada Allah swt dalam setiap kurniaanNya dan sikap inilah yang bakal menambah lebih banyak rezeki dan bukannya sifat tamak serta angan-angan. Marilah kita sama-sama untuk kembali kepadaNya dengan sebenar-benar yakin agar kita tidak rugi di dunia dan juah sekali di akhirat. Marilah kita lihat ke dalam diri kita ini, adakah kita mempunyai sifat tamak dan panjang angan-angan ini dan jawapannya hanya kita sahaja yang dapat mengetahui. Kita tidak perlu menghebahkannya dan tiada siapa yang berhak mengetahuinya kecuali diri sendiri. Apa yang perlu kita lakukan adalah berubah dengan pantas selagi ada masa. Kita boleh menipu siapa sahaja yang kita inginkan tetapi kita tidak akan mampu menipu diri sendiri apatah lagi untuk menipu Allah swt. Jika kita tidak jujur kepada diri kita sendiri maka kita tidak akan pernah jujur kepada kehidupan dan percayalah setiap perkara yang baik walau sebesar zarah akan diperhitungkan begitu juga dengan setiap kejelekan, pasti juga ada imbalannya. Sifat tamak dan panjang angan-angan merupakan satu elemen dalam menipu keupayaan diri sendiri. Jika kita berterusan cuba menipu diri sendiri maka insya Allah satu ketika kita akan berada dalam konflik diri yang kronik. Ini lebih merugikan. Orang yang bijak akan selalu memandang jauh ke hadapan tanpa melupakan apa yang di depan mata. Manakala mereka yang tamak pula hanya melihat apa yang ada di depan mata hingga terlupa ianya mungkin menjadi racun yang mematikan dalam satu jangkamasa yang tidak kita sedari.
Biar siapapun kita samada kita datang dari golongan bangsawan mahupun tidak, kita perlu tahu siapa diri kita dan perlu kita jauhi sifat yang buruk ini. Orang yang tamak dan panjang angan-angan ini bukan sahaja akan kehilangan angan-angannya tetapi juga turut akan kehilangan mereka yang selama ini berada disekelilingnya. Mencipta kepercayaan orang lain terhadap diri kita mengambil masa yang lama tetapi memusnahkannya hanya masa yang begitu singkat. Orang yang mencintai Allah swt dan rasulNya akan sentiasa menjauhi apa sahaja yang sudah dipesan untuk dijauhi kerana mereka tahu semuanya itu untuk kebaikan diri mereka sendiri. Orang yang mencintai Allah swt dan RasulNya juga akan sentiasa menjaga setiap hubungan manusiawi kerana di situ juga ada kasih sayang Tuhan yang maha pengasih lagi maha pengampun. Orang yang sentiasa menjaga silaturrahim juga akan terjaga rezekinya begitu sebaliknya orang memutuskannya akan terputus juga jalan rezekinya. Kita dikurniakan Allah swt akal fikiran untuk kita membuat pilhan yang manakah yang ingin kita tujui. Seandainya kasih sayang Allah swt yang menjadi objektif nescaya tidak akan rugi selamanya kerana Allah swt tidak pernah menyusahkan bahkan sentiasa menyenangkan. Namun seandai kerakusan duniawi yang secara ilusinya indah menjadi pilihan, nantikan sahaja kerugian yang bakal kita alami serta kemusnahan diri yang sukar untuk diperbaiki. Semoga kita menjadi mereka yang terpelihara dari sifat tamak serta panjang anga-angan yang merosakkan secara halus. Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment