Monday, January 2, 2012

Siapakah The Universal Attractor?

Bila menyebut tentang Law of Universal Attraction, kita tidak boleh mengelak daripada berbicara tentang The Universal Attractor.

Siapakah The Universal Attractor?

Mungkin ada yang berpandangan bahawa Universal Attractor adalah tarikan alam. Hakikatnya, Universal Attractor adalah Penarik alami.

Apa bezanya?

Tarikan alam bermaksud alam mempunyai tarikan-tarikan yang tertentu. Tarikan ini boleh jadi dalam bentuk kekayaan, keindahan mahupun kepandaian.

Namun jika dilihat dari segi bahasa, Attractor merujuk kepada pembuat, dan Universal merujuk kepada kata sifat. Lalu makna yang lebih tepat kepada “Universal Attractor” ialah Penarik Alami, yang bermaksud satu Zat yang mempunyai tarikan terhadap semua alam ini.

Lalu siapakan The Universal Attractor yang dimaksudkan?

Dengan sifat Tuhan yang Maha Pengasih dan maha Penyayang, hanya Tuhan yang mampu menjadi tarikan kepada setiap makhluk. Tuhanlah yang memberi kebaikan dan membawa kita ke arah kebaikan. Tuhan yang memberi kekayaan. Tuhan yang memiliki semua sifat kesempurnaan dan memiliki pengetahuan yang luas. Kita akan tertarik pada sesuatu berdasarkan sifat-sifat kesempurnaan yang ada pada tuhan.

Tuhan telah menjadikan fitrah manusia itu suka kepada kebaikan. Cuba saudara lihat kepada jadual di bawah. Bahagian manakah yang saudara lebih suka, kanan atau kiri?



Bagi saya, bahagian kanan (Set B) jelas lebih menarik perhatian kerana semua sifat yang dinyatakan adalah sifat-sifat positif.

Kenapa? Kerana saya lebih suka menjadi kuat daripada lemah. Memang sifat Tuhan itu Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa!

Antara hodoh dan cantik, mana yang kita lebih tertarik? Sudah tentu yang cantik, kerana Tuhanlah Yang Maha Cantik (Indah).

Antara benci dan sayang, mana yang kita lebih tertarik? Sudah tentu sayang, kerana Tuhanlah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

Fitrah sukakan kebaikan seperti yang kita lihat di atas membuktikan bahawa setiap tarikan itu berpusat kepada Tuhan yang menciptakan LUA. Dan Tuhan mencipta alam ini begitu lengkap dan indah untuk mendekatkan kita kepadaNya. Untuk memperkenalkan diriNya di sebalik keindahan alam ciptaannya. Dialah The Universal Attractor.



LUA mengajar kita berfikiran besar (The Magic of thinking BIG)

Melalui LUA, Tuhan juga mengajar manusia berfikir dan berjiwa besar. Tiada manusia suka hidup miskin kerana ia menyebabkan kita terpaksa meminta-minta. Lalu manusia lebih tertarik kepada kekayaan daripada kemiskinan.

Namun, suatu perkara yang boleh menjurus kepada kesilapan adalah apabila kita hanya mengaitkan kaya dengan memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, taman yang luas serta aset yang pelbagai.

Izinkan saya membawa saudara untuk kita sama-sama menghayati hadis ini:

“Kaya bukanlah kerana banyaknya harta, melainkan yang disebut kaya adalah kaya jiwa”. (HR Bukhari dan Muslim)

Bila kita menyoroti hadis ini, kita dapat simpulkan manusia yang mempunyai akhlak yang baik adalah orang yang paling kaya.

Mana yang kita lebih suka?

Orang kaya yang banyak harta tapi kedekut atau orang yang biasa-biasa yang suka memberi?

Orang kaya yang banyak harta tapi malas menolong orang lain atau orang yang biasa-biasa yang suka menolong orang lain?

Orang kaya yang banyak harta tapi derhaka pada ibu-bapa dan tidak menghormati orang tua atau orang yang biasa-biasa yang menghormati orang lain?

Tentu kita suka orang yang bermoral tinggi dan berakhlak baik bukan? Moral dan akhlak inilah yang dinamakan kaya jiwa.

Tuhan juga Maha Kaya, bukan hanya kaya harta tapi kaya dalam segala-galanya. Kaya dalam kasih-sayang, kaya dalam memberi, kaya dalam memaafkan.

Sekiranya kita gagal memahami hakikat ini, manusia akan semakin jauh dengan Tuhannya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian daripada mereka yang memperlajari LOA tetapi masih belum berjaya menarik kebahagiaan.

Apabila mereka meminta sesuatu daripada alam, tanpa mereka sedari mereka sedang bertuhan kepada alam. Akhirnya, mereka gagal memahami sumber tarikan kejayaan yang sebenar, lalu gagal menarik kejayaan yang diimpi-impikan. Kerana sumber kejayaan yang sebenar adalah Tuhan. Dialah Yang Maha Mengabulkan Hajat (As- Somad) lagi Maha Penyayang.



Lalu apakah perkara pertama yang patut dilakukan oleh mereka yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan? Mengenalpasti sumber kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar, iaitu Tuhan Yang Maha Esa. Elakkan bergantung dan terlalu berharap kepada manusia kerana makhluk bukanlah sumber kejayaan dan kebahagiaan sebenar.

Dengan memahami dan mengaplikasi asas ini, Tuan Puan sudah bersedia untuk menarik KEJAYAAN dan KEBAHAGIAAN dalam hidup Tuan Puan. Selamat menjadi magnet kejayaan dan kebahagiaan!

Dipetik dari: http://www.zuhairinopiah.com/siapakah-the-universal-attractor-2/

0 comments:

Post a Comment

 

bicara ilmu88 © 2010

Blogger Templates by Splashy Templates