Thursday, April 28, 2011

Mencari Guru Yang Hebat...

Terpana saya seketika apabila saya ditanya seseorang tentang siapakah yang paling hebat dan sakti di Malaysia dan mampu mengalahkan semua guru yang ada. Kata di penanya, dia begitu teringin untuk mengetahui dan belajar untuk jadi hebat. Mengenali si penanya ini, saya dapat melihat konflik yang berada dalam dirinya. Meskipun dia bertanya sedemikian namun jauh di sudut hatinya tahu bahawa dia tidak perlu akan kehebatan. Pertemuan saya dan dia sudah berkali diatur Allah swt. Kami bertemu dan soalan sebegitu tidak pernah lekang dari bibirnya.

Tetapi ironinya dia mengatakan tertekan dengan keadaan ingin mencari siapa yang paling hebat dan bosan dengan sikapnya ingin menjadi lebih hebat di mata manusia. Saya menjawab soalannya tentang guru yang hebat dan kewujudannya. Lalu dia bertanya siapakah dia dan bolehkan saya membuat janji temu untuk dia bertemu. Saya kemudianya berkata “kalau mahu bertemu bila-bila boleh namun datang dengan sepenuh hati tanpa ada sedikitpun keraguan.” Dia kemudiannya menjawab dengan penuh semangat “mahu tapi boleh saya tahu nama guru tersebut?” Saya tanpa menunggu lebih lama untuk memberitahunya yang dia boleh tahu nama guru tersebut… “namaNya Allah swt… bukankah Dia Maha Guru untuk semua yang bergelar mahaguru… bukankah Dia Maha Sakti untuk semua yang sakti di atas muka bumi ini… bukankah hanya Dia yang mampu mengalahkan sesiapa sahaja… benarkan?”


Dia terdiam seketika lalu berkata jika Allah swt jawapannya maka dia juga sudah tahu dari dulu. Lalu saya menerangkan kepadanya yang kita bukan hanya perlu tahu tentang itu tetapi benar-benar faham dan tidak menduakan Allah swt dalam apa segi sekalipun. Jika kita yakin bahawa Allah swt Maha Hebat mengapa harus kita mencari yang lebih hebat. Pesan guru saya satu ketika dahulu yang hingga kini menjadi pegangan saya, “zhar… jika sudah mengenal Maha Raja, jangan kamu kejar yang namanya raja.” Maksud guru saya adalah jika sudah kita mengenal yang Maha Merajai maka jangan sampai kita menduakanNya dengan bergantung harap selain dariNya.

Dia akhirnya akur dengan penjelasan saya dan dia memberitahu saya yang dia hairan mengapa nafsunya terhadap kehebatan duniawi ini terlalu tinggi. Dia tahu Allah swt adalah segalanya tetapi pada masa yang sama dia tidak mampu untuk menolak keinginan nafsunya. Katanya lagi sudah banyak amalan yang dilakukannya untuk membuang kehendak dan perasaan tersebut tetapi masih belum berjaya bahkan semakin kuat di dalam dirinya. Hal ini mencetuskan konflik diri hingga tekanan perasaan mula menyelubungi jiwanya. Setelah mendengar sejarah hidupnya secara terperinci yang belum pernah diceritakanya secara mendalam pada pertemuan-pertemuan sebelumnya maka saya mula melihat arah datangnya perasaan tersebut.

Kadangkala kita ingin menjadi positif lalu kita mencari mereka yang dapat member amalan tertentu untuk menjadi positif. Tujuannya amat murni iaitu untuk menjadi positif tetapi tanpa kita menyedari yang amalan-amalan yang kita amalkan itu terselit sisipan yang tidak murni. Maka titik awal untuk menjadi positif kemudian lama-kelamaan ianya membawa kita ke arah kehebatan duniawi. Sebagai contoh kita diijazahkan amalan surah tertentu untuk menjadi lebih bersemangat dalam bekerja. Apabila ia diamalkan, semangat baru itu benar-benar timbul dan kita menjadi orang yang dicontohi. Pujian pada awalnya dikembalikan kepada Allah swt namun tanpa sedar semangat untuk lebih melakukan amalan tersebut sudah mula semakin kuat.

Semakin kita beramal semakin kita menjadi lebih bersemangat bekerja dan semakin banyak pula pujian. Apabila ada orang yang dilihat sebagai pencabar maka kita akan memperbanyakkan amalan demi untuk melihat siapa lebih hebat. Akhirnya kita hanya focus kepada siapa lebih hebat dan jika kita merasakan amalan tersebut sudah kurang bisanya maka kita mencari seseorang yang lain yang dapat mengijazahkan ilmu yang lebih hebat.

Apabila semakin banyak ilmu yang menjurus kepada kehebatan, kita sentiasa resah kerana memikirkan yang mungkin ada orang yang lebih hebat. Walaupun kita melakukan ibadah soalt dan sebagainya tetapi kebergantungan tidak lagi kepada Allah swt melainkan kehebatan guru dan ilmu. Hilang sudah Allah swt di dalam jiwa biarpun kita mengatakan kita yakin Allah swt segalanya. Kita mula bertuhankan ilmu. Kita cukup yakin dengan ilmu yang kita ada tanpa kita sedar ianya tidak mungkin mendatangkan hasil jika Allah swt tidak mengizinkannya.

Jika ini sudah berlaku, pada pendapat saya eloklah kita mula merenung ke dalam diri dan melihat semula ikatan hubungan kita dengan Allah swt. Sekuat manakah ianya terjalin, jika ianya rapuh maka perbaikilah dengan taubatan nasuha. Kita bertaubat kerana kita sudah meletakkan kebergantungan bukan pada Allah swt. Kita mulakan dengan hidup baru dengan menjadi sebenar-benar hamba dan berjanji untuk tidak akan pernah lagi mendahului keputusan Allah dalam setiap hal. Marilah mulai hari ini menghayati dengan jiwa yang tenang akan surah al-ikhlas supaya kebergantungan kita hanya pada Allah swt semata, insya Allah. Guru yang terhebat itu adalah Maha Hebat…yang paling sakti adalah Maha Sakti… jika kamu sudah mengenal Maha Raja, janganlah kelak kamu mengejar raja…

Dipetik dari: http://www.facebook.com/notes/dr-azhar-hj-sarip/mencari-guru-yang-hebat/210898615601358

0 comments:

Post a Comment

 

bicara ilmu88 © 2010

Blogger Templates by Splashy Templates