Monday, August 22, 2011

Bila Banyak Mengkritik

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang mengembirakan hingga kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.

Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri. Bak kata orang dulu, kuman di seberang laut dapat dilihat tetapi gajah di depan mata tidak pula kita nampak.

Kita marah orang memperkatakan hal kita tetapi kita juga sebenarnya membuka diri kita untuk diperkatakan apabila memperlihatkan sikap yang mengundang kejelekan pada mata masyarakat. Apabila berlaku ketidakpuasan hati, maka bermula satru episod yang merosakkan hubungan, yang sebenarnya membawa kita selangkah ke neraka tanpa kita sedari.

Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari, secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan.

Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan secara berulangkali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira samada positif atau negatif. Maksudnya di sini apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.

Jika kita terlalu rajin mengkritik seseorang hingga tiada ruang untuknya menjelaskan hal sebenar, apa yang sebenarnya berlaku adalah kita sedang menanam afirmasi kritikan itu di dalam minda bawah sedar kita. Jika ianya dilakukan secara berulang kali maka akhirnya tanpa sedar kita mula mengikut rentak fikiran bawah sedar itu tadi. Nah… lama kelamaan, ianya menjadi satu sikap yang negatif untuk kita. Buruknya, kita kemudiannya melakukan sebagaimana yang kita kritikan dahulu.

Justeru, kita perlu menghindari sikap yang mengkritik yang tidak membina. Kita boleh sahaja memberi kritikan asalkan kritikan itu membina yakni kritikan yang disertai dengan cara penyelesaian. Jika kritikan itu tidak disulami dengan aliran penyelesaian maka ianya tidak layak dipanggil kritikan membina melainkan satu kecaman atau sering dipanggil 'condemn'. Sikap suka mengecam ini sering dimiliki oleh mereka yang sebenarnya membawa sikap yang dikecam. Mereka tidak pernah sedar yang sikap mereka kadangkala lebih buruk dari orang mereka kecam.

Maka mulai dari hari ini juga marilah kita sama-sama melihat ke satu arah yang baru, arah yang tidak melihat hanya kepada keburukan orang lain. Kita tidak pula banyak mengata serta memberi komen yang tidak diperlukan. Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti.

Jika kita tidak berhenti melakukan hal-hal negatif sebegini, ditakuti kita akan melakukan apa yang kita kritikkan terhadap orang lain sebelum kita menghembuskan nafas terakhir. Mereka yang kita kritik mungkin sudah bertaubat lalu meninggalkan dunia dengan penuh keinsafan. Malangnya mereka yang sering memberi kritikan dan kecaman pula mati dalam keadaan yang penuh dengan kenegatifan.

Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita perlu memberi nasihat kerana Allah swt dan bukan atas kehendak diri.

Marilah kita sama-sama mengubah diri kita untuk menanam kata-kata yang baik lagi mulia secara berulang-ulang agar ianya tertanam utuh dalam memori bawah sedar kita. Biarlah kata-kata tersebut menjadi corak masa depan kita dan menjadi satu contoh yang baik untuk mereka yang berada di sekeliling kita. Seandainya kita mampu mengubah diri kita, maka kita juga mampu mengubah sekeliling kita kerana kita sudahpun menjadi contoh tauladan yang baik.

Perlu kita ingat bahawa kita tidak mampu mengubah orang lain, maka eloklah jika kita melihat ke dalam diri sendiri kerana kita mampu mengubah diri sendiri. Kita perlu berhenti dari cuba mengubah orang lain dan mengkritik orang lain tanpa terlebih dahulu mengubah diri sendiri serta menilai prestasi hubungan kita dengan Allah swt. Semoga hari ini kita mula menjadi orang yang sentiasa mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mulia. Amiin.

Dipetik dari:http://www.facebook.com/notes/dr-azhar-hj-sarip/bila-banyak-mengkritik-orang/259963757361510

0 comments:

Post a Comment

 

bicara ilmu88 © 2010

Blogger Templates by Splashy Templates