
Bila kita bercakap tentang sakit maka pastinya kita sering memikirkan penyakit-penyakit yang dapat dilihat kesakitannya. Kita lebih memahami kesakitan yang dialami oleh orang yang patah tangannya dari mereka yang mengalami penyakit darah tinggi. Kita lebih kasihan kepada mereka yang luka di kepala dari mereka yang menggigil menahan kesakitan migrain. Justeru manusia sememangnya lebih mudah memahami apa yang dilihatnya dari apa yang tersirat di sebalik pandangan mata kasar.
Jika kita katakan pula tentang sakit yang tidak nampak oleh mata kasar, maka secara mudahnya kita mengatakan ianya adalah penyakit ghaib. Ghaib kerana kita tidak melihatnya namun seandainya kita sudah melihatnya maka hilanglah keghaiban tersebut. Kanser misalnya, boleh kita katakana penyakit ghaib kerana tidak nampak oleh mata kasar tetapi apabila zaman semakin moden serta banyak kelengkapan perubatan yang canggih, kanser cukup mudah dikesan dan tiada lagi istilah kegahiban padanya.
Oleh yang demikian penyakit yang kita katakan ghaib belum tentu ghaib secara hakiki namun ada juga penyakit yang benar-benar penyakit ghaib. Ghaib kerana ianya sukar untuk diterjemah oleh mata kasar mahupun kanta yang canggih. Saya menamakannya penyakit hati. Penyakit hati pula bagi saya ada banyak jenis dan rupa. Ianya saling berkait biar tidak serupa tetapi mudah cerita ianya datang dari baka yang sama, ibarat adik beradik di dunia nyata.
Penyakit hati yang ingin saya ceritakan hari ini adalah penyakit dendam halus. Saya pernah bertemu dengan seorang ahli perawat. Katanya dia sihat sehingga kini walaupun umurnya sudah menjengah setengah abad. Jika bercerita tentang sakit fizikal yang sering melanda orang seusia dengannya, dia mampu tersenyum kerana tiada satupun penyakit lima serangkai yang hinggap padanya. Saya asyik juga mendengar cara dia menjaga kesihatan. Meskipun secara fizikalnya dia sihat tetapi katanya setiap orang ada juga sakitnya. Menurut beliau, sakitnya dibuat oleh orang sebelah maksudnya si suami.
Dari tutur katanya dia sudah berpisah dengan suaminya. Dia sedih kerana suaminya sudah ada pilihan yang amat jauh lebih mudah darinya. Katanya hatinya sakit dan dia pergi ke mekah untuk mendoakan agar si suami tadi diberi balasan. Katanya lagi hatinya terubat apabila melihat keruntuhan kedua-duanya dan itulah balasan Tuhan. Dia dengan bangganya juga berkata dia lega kerana suaminya dibayar tunai oleh Allah swt. Anehnya lagi, dia menceritakan perihal suaminya yang hidup susah dan pelbagai lagi.
Inilah yang saya katakana penyakit hati yang tidak nampak. Walaupun ianya kelihatan seperti baik tetapi ianya penuh dengan nafas dendam. Kita kata kita sentiasa ingat pada Allah swt, kita sayang pada Allah swt tetapi mengapa pula kita hidup dengan penuh dendam yang halus lagi merosakkan. Dendam halus lagi merosakkan ini cukup kuat impaknya dalam hidup. Biar kita kelihatan tenang, biar kita sering beribadah tetapi jiwa kita tidak pernah tenteram.
Ketidaktenteraman itu terbit dari rasa tidak puas hati kerana orang yang kita marah dan benci masih belum menerima balasan yang kononnya setimpal dengan perbuatan mereka. Kita akhirnya mendahului keputusan Allah swt dalam menghakimi mereka sedangkan Allah swt lebih tahu apa yang sepatutnya. Kita juga mula memutuskan silaturrahim dalam diam sedangkan kita amat tahu bahawa kita tidak boleh memutuskan silaturrahim. Kita bersumpah tidak mahu bertemu dengan si polan misalnya dan tanpa sedar ianya sudah member satu kejayaan yang tinggi nilainya kepada syaitan.
Semakin kita cuba hampir kepada Allah swt maka semakin haluslah permainan syaitan ini. Permainan emosi dan dendam adalah permainan yang nampaknya tidak memberi apa-apa impak terhadap hubungan kita dengan Allah swt. Namun hakikat sebenarnya kita sudah mula lebih memikirkan mereka yang kita marah lebih dari memikirkan hubungan kita dengan Allah swt. Kita katakana yang kita tidak berdendam tetapi tahukah kita asalkan kita rasa marah dan ingin melihat pembalasan itu sudah cukup untuk digelar dendam.
Dendam adalah salah satu jalan pemutus rasa cinta kita dengan Allah swt. Apabila ada rasa dendam yang halus, kita sebenarnya akan cuba menjustifikasikan perbuatan kita biarpun ianya bertentangan dengan sifat si pencinta Tuhan. Baginda saw tidak sedikit pun menyimpan dendam kepada mereka yang menganiaya baginda. Mungkin ada yang berkata, “itu nabi…”
Makanya disebabkan itu nabi maka kita perlu mengikut jalan hidup serta akhlak yang dipertontonkan kepada kita seandainya kita benar mahu mencintai Allah swt. Selagi kita punya rasa tidak puas hati dan tidak mampu kita jadikan dia sebagai satu elemen kasih sayang maka selagi itu dia menjarakkan dirinya dengan Allah swt yang maha mencintai. Kita perlu hidup dalam keadaan kasih sayang biarpun kita dianiaya, biarpun kita difitnah mahupun dinista. Mencintai Allah swt itu dengan rasa, maka dikurniakan rasa derita sebenar derita agar kepekaan rasa dapat dikupas tanpa kata-kata. Kata Ki Ageng Sabdo Sukma, luka hati adalah pembuka rasa, luka jiwa adalah kedekatan rasa, jika sudah merasa datanglah cinta kepada yang Maha Esa.
0 comments:
Post a Comment