Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.
Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.
Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136: (maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal
Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain. Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).
Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.
Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).
Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.
Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.
Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.
Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.
Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai.
ISLAM tidak menutup pintu kepada umatnya yang bersalah, jika mereka mahu kembali kepada kebenaran dengan membersihkan diri dengan bertaubat. Malah, Islam membuka seluas-luasnya dan menggalakkan mereka berbuat demikian. Galakan diberikan setinggi-tingginya kepada mereka sehingga Allah meletakkan sebagai tanggungjawab-Nya untuk menerima taubat yang datang daripada hati tulus ikhlas. Hal ini kurniaan yang tiada tolok bandingnya bagi orang Islam. Sekali gus, menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun.
Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang lemah peluang untuk kembali ke barisan yang suci. Dia tidak menyingkirkan mereka buat selama-lamanya seandainya hamba-Nya mempunyai keinginan untuk mendapat perlindungan yang abadi di sisi-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah menerima taubat orang yang melakukan perbuatan keji kerana kebodohannya. Kemudian mereka bertaubat walaupun malaikat telah bersedia untuk mencabut rohnya sebelum sampai ke tenggoroknya.
Mujahid berkata: “Setiap orang yang melakukan maksiat kepada Allah, baik keliru atau sengaja, bererti dia bodoh hingga menghindari dosa itu.”
Abdul Razaq berkata: “Ma’mar telah khabarkan kepada kami daripada Qatadah, dia berkata: Sahabat Rasulullah SAW sepakat mengatakan bahawa setiap orang yang melakukan maksiat kepada Allah, maka bererti dia jahil, baik sengaja atau tidak.”
Mufassirin juga bersepakat berpendapat yang dimaksudkan dengan kejahilan adalah kesesatan dari jalan hidayah sama ada panjang atau pendek masanya, selagi tidak berterusan sehingga roh sampai ke halkum.
Begitu pun, bagi mereka yang mengetahui atau sedar mengenai kesalahan perbuatan yang dilakukan, mereka dilarang mengulanginya.
Rasulullah menempelak mereka yang melakukan kejahatan terus menerus, sedangkan mereka mengetahui kejahatan yang dilakukannya. Sepatutnya, mereka meminta keampunan kepada Allah di atas kesilapan pertamanya tanpa mengulangi kesalahan itu.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah b Amr, daripada Nabi ketika Baginda sedang berada di atas mimbar, Rasulullah bersabda bermaksud: “Berilah kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedangkan mereka mengetahui (larangan berbuat dosa).”
Ada beberapa keadaan taubat seseorang itu diterima oleh Allah. Antaranya taubat hendaklah terbit dari lubuk hati hamba-Nya. Hati itu adalah hati yang baru, iaitu hati yang penuh dengan penyesalan di atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sehingga menjadikannya benar-benar sedar dan insaf.
Taubat yang diterima Allah juga adalah taubat dalam keadaan segera sebelum roh sampai ke tenggoroknya. Hal ini seperti dijelaskan oleh Imam Ahmad yang meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama (rohnya) belum sampai ke tenggorok.”
Hal itu bererti apabila sudah putus harapan untuk hidup, malaikat mula datang menjemput, roh mula keluar dari tenggoroknya, dada mula terasa sesak dan mencapai tenggoroknya. Pada saat itu taubat tidak lagi diterima. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) dia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (Surah al-Nisa’, ayat 18)
Taubat juga tidak diterima ketika datangnya sebahagian tanda besar kiamat akan muncul. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud : “Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda Tuhanmu itu (yang menjadi alamat hari kiamat), tidaklah berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya.” (Surah al-Am’am, ayat 158)
Taubat juga tidak diterima oleh Allah di kalangan hamba-Nya yang mati dalam kekafiran. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah juga dalam surah an-Nisa, ayat 18 yang bermaksud: “Dan tidak pula diterima taubat orang yang mati, sedangkan mereka dalam kekafiran.”
Ibn Abbas menerangkan ayat itu diturunkan kepada pelaku amalan syirik.
Oleh itu, manusia perlu mengelak daripada berada dalam tiga keadaan di atas untuk bertaubat. Sebaik-baiknya bersegera bertaubat di atas setiap kesilapan yang dilakukan.
Sesungguhnya manusia tidak dapat lari daripada memohon taubat kepada Allah. Perkara ini kerana tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa manusia, selain Allah. Firman-Nya bermaksud: “Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 135)
Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu memberi keampunan kepada hamba-Nya selagi mana hamba-Nya memohon keampunan kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Said, daripada Nabi bersabda bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhan, dan demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka segera bertaubat dan memohon ampunan kepada-Ku.”
at
9:24 PM
Thursday, October 14, 2010
Aku Ingin Pulang Ya Allah-Dipetik dari sumber http://drmindailmu.blogspot.com/2010/01/aku-ingin-pulang-ya-allah-siri-ii.html
Posted by -
bicara ilmu88
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment